KUNAK: Empat individu ditahan dalam operasi bersepadu Op Chiller Sabah 2.0 selepas disyaki menjalankan perniagaan produk sejuk beku tanpa lesen sah serta gagal mengemukakan invois barangan yang dijual.
Operasi pada Rabu lalu dijalankan oleh Cawangan Risik/Task Force dan Tiger Platun Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Kunak (JPVS) serta Majlis Daerah Kunak.
Dalam operasi itu, dua serbuan dilakukan di beberapa lokasi sekitar daerah berkenaan sebelum empat individu berjaya ditahan pihak berkuasa.
Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan pelbagai produk sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM391,104.56.
Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada JPVS Kunak untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015.
Task Force Batalion 22 PGA Kunak memaklumkan operasi seumpama itu akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang selain memastikan keselamatan makanan serta kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.
