LABUAN: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian selepas menahan 13 warga China dalam operasi bersepadu di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Pulau Buah, di sini.
Serbuan yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan itu dipercayai membongkar pusat operasi ‘calling center’ yang digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, semua suspek terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 47 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan pusat operasi sindiket scam yang menyasarkan mangsa melalui panggilan telefon dan dalam talian.
“Kesemua suspek memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, namun empat daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika ditahan,” katanya.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas 21 set komputer dan 83 telefon bimbit yang dianggarkan bernilai lebih RM150,000, dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.
