KENINGAU: Enam pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau mencipta pencapaian membanggakan apabila artikel bahasa Inggeris yang dihasilkan mereka diterbitkan dalam majalah dwi-bahasa E-Magz keluaran Institut Pendidikan STIKIP PGRI Pacitan, Indonesia.
Artikel para pelajar itu diterbitkan pada 4 Mac lalu dalam edisi bulan Mac yang mengangkat tema kesedaran berkaitan bahan buangan.
Lebih membanggakan, lima daripada enam pelajar tersebut turut menerima sijil penghargaan daripada pihak penganjur selepas karya mereka dipilih sebagai antara artikel terbaik bagi edisi berkenaan.
Pelajar kosmetologi, Annys Anastasia Francis George menulis mengenai inovasi topeng muka kosmetik yang dihasilkan daripada jerami nangka, bahan yang lazimnya dibuang tetapi boleh dimanfaatkan semula.
Sementara itu, Nadiirah Naquyyah dari program teknologi elektrik pula mengetengahkan isu peningkatan sisa elektronik (e-waste) akibat gaya hidup masyarakat yang sering menukar peranti teknologi baharu.
Bagi pelajar pendidikan awal kanak-kanak, Azzulfa Haryani, beliau menyorot bagaimana budaya kepenggunaan yang tidak terkawal menyumbang kepada peningkatan bahan buangan.
Dua lagi pelajar, Avyda Tang Pei Chin dari program teknologi binaan dan Rosselina Senora Ungkak dari program kosmetologi mengemukakan beberapa amalan yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat, institusi dan individu bagi mengurangkan sisa bahan buangan.
Seorang lagi pelajar, Noel Isaac Jeremy dari program teknologi automotif mencadangkan agar sisa pukal seperti perabot lama dan bahan binaan dimanfaatkan semula sebagai bahan seni kreatif yang mempunyai nilai praktikal.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang berkata, kejayaan tersebut membuktikan kesungguhan pelajar dalam bidang penulisan selain mengetengahkan idea dan cadangan yang bernas berkaitan isu alam sekitar.
Menurutnya, karya yang dihasilkan juga berdasarkan pengalaman pelajar yang terlibat dalam pertandingan inovasi serta pelaksanaan projek sosial.
Majalah tersebut boleh diakses melalui pautan:
https://pbi.stkippacitan.ac.id/e-magazine/
