Empat daerah belum capai kadar 80 peratus populasi divaksinasi

KOTA KINABALU: Empat daerah termasuk Tawau, Sandakan, Kinabatangan, Nabawan masih belum mencapai kadar 80 peratus populasi divaksinasi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, perkembangan suntikan dos penggalak, katannya, sehingga semalam, lebih 69,000 dos penggalak telah diberikan kepada rakyat di negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 dan Penghargaan Pesara 2021 Peringkat Ibu Pejabat JKNS yang diadakan di Palace Hotel di sini semalam.

Dr. Rose juga menggesa seluruh masyarakat untuk terus mengamalkan kawalan kendiri yang tinggi dan berdisiplin agar kawalan jangkitan baharu Covid-19 dapat dibendung.

Katanya,ini kerana kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), khususnya di kawasan tumpuan ramai antara punca tercetusnya kluster baharu di negeri ini.

Beliau turut mengakui, ia termasuk mereka yang beranggapan tidak akan dijangkiti selepas lengkap divaksinasi.

“Segelintir masyarakat yang melanggar SOP sedia ada antara sebab kes penularan Covid-19 di negeri ini terus melonjak dan ianya dapat dikurangkan sekiranya individu atau masyarakat kita amalkan pematuhan SOP dengan disiplin yang tinggi,” jelas Dr. Rose.

Tambahnya, daripada 400 hingga 600 kes harian yang dicatatkan, kategori kontak rapat kerana tidak mengamalkan pematuhan SOP antara yang tertinggi direkodkan.

Beliau juga mengingatkan agar orang ramai kekal mematuhi SOP menjelang sesi percutian dan musim perayaan yang akan datang bagi membendung penularan Covid-19.