TAWAU: Polis berjaya menaham tujuh bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan yang berlaku di Taman Trauselin, Jalan Persisiran, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kes pergaduhan dua kumpulan di lokasi kejadian yang tular di media sosial.
Katanya, susulan video pergaduhan itu tersebar, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau memulakan siasatan dan mengenal pasti mereka yang terlibat kira-kira jam 7 malam hari kejadian.
“Polis bertindak membuat serbuan dan berjaya menangkap tujuh lelaki termasuk dua warga asing berumur 23 hingga 38 tahun di beberapa lokasi untuk membantu siasatan.
“Manakala seorang lagi suspek Jumadi Baba, 35, masih dicari untuk membantu siasatan polis,” katanya ketika sidang media di sini semalam.
Difahamkan motif pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham semasa mahu menarik kereta sehingga membawa pergaduhan dua kumpulan berkenaan.
“Kita tidak menolak kemungkinan mereka juga turut disiasat atas kesalahan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Peter berkata, orang awam yang menyaksikan pergaduhan itu diminta untuk memberikan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Beliau juga meminta sesiapa yang mengenali Jumadi Baba agar menghubungi IPD Tawau untuk memberikan maklumat lokasi suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.