KENINGAU : Ketua Exco Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Prof Madya Dr Edwin Laimin mengesahkan diri tidak bertanding mengekalkan jawatannya bagi memberi tumpuan sepenuhnya membantu jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka diadakan tahun depan.
Menurutnya, sudah tiba masanya memberi laluan kepada kepimpinan muda bagi menerajui pentadbiran PBRS sekali gus menjadi sebuah parti yang berpotensi besar kelak.
“Pada kali ini, saya tidak menghantar borang pencalonan untuk bertanding bagi mengekalkan jawatan sebagai ketua pemuda atau memegang mana-mana jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi atau di bahagian.
“Kita memerlukan idea-idea baharu untuk mencipta produk politik lebih hebat melalui idea corak kepemimpinan muda yang dapat diketengahkan kepada pelusuk masyarakat khususnya di seluruh negeri ini,” Katanya dalam kenyataan hari ini.
Edwin berkata, apa yang lebih penting agar parti ini menjadi pilihan kepada kalangan belia sekali gus bersesuaian kedudukan Presiden PBRS Datuk Arthur Joseph Kurup merupakan pemimpin muda, berwawasan serta berpandangan jauh.
“Meskipun tidak memegang jawatan Ketua Pemuda, fokus utama saya adalah membantu menyalurkan sumbangan pelbagai bentuk idea termasuk menggerakkan serta mengembangkan lagi parti ini di masa depan.
“Dalam tempoh sama, saya akan terus membantu pergerakan pemuda melalui kepimpinan baharu nanti selepas pengumuman dijalankan demi menggerakan agenda pembangunan di Sabah secara amnya,” jelas Edwin.