TONGOD: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan pelaksanaan projek Pekan Baharu Penangah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang dijadualkan bermula pada awal Januari tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, projek pembangunan bercampur itu disenaraikan dalam Belanjawan Negeri Sabah 2026 berjumlah RM6.9 bilion yang dibentangkan pada persidangan DUN pada 12 Disember lalu.
Beliau berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja awal melibatkan pengukuran tapak seluas 200 ekar, pembinaan jalan masuk, kerja tanah serta sistem perparitan.
“Pekan Baharu Penangah dijangka menjadi pemangkin ekonomi penduduk setempat, mengambil kira kedudukannya yang berhampiran dengan projek kilang simen di Kampung Kawayoi yang dijangka beroperasi pada penghujung 2026,” katanya.
Masiung berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan Krismas Zon Penangah, semalam.
Menurutnya, pembangunan pekan baharu itu akan dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama strategik bersama Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau turut memaklumkan bahawa kilang simen berkenaan dijangka menyediakan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan sekali gus membuka lembaran baharu pembangunan ekonomi bagi daerah Tongod, yang tersenarai antara 10 daerah termiskin di Malaysia.
Selain Pekan Baharu Penangah, Masiung berkata projek pekan baharu Tongod kini dalam pembinaan di bawah RMK-13, manakala Kompleks Sukan Tongod yang sebelum ini terbengkalai akan disambung semula.
