Lori Rosak Tanpa Amaran, Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Awal Pagi

TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah lori bermuatan baja yang rosak dan ditinggalkan di laluan utama Jalan Sungai Burung, Jalan Apas–Balung, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.05 pagi, manakala kemalangan dianggarkan berlaku kira-kira jam 4.30 pagi.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah lori rigid dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun dan sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 32 tahun.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan mengalami kerosakan mekanikal serius pada 17 Disember lalu kira-kira jam 10.30 malam ketika dalam perjalanan dari Batu 8, Jalan Apas menghala ke Beluran, menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba dan tidak dapat dihidupkan semula.

“Lori itu kemudian berhenti di laluan kiri jalan menghala ke Jalan Apas dan kekal berada di laluan utama selama hampir dua hari,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati kawasan kejadian gelap tanpa lampu jalan selain tiada papan tanda amaran atau peranti keselamatan dipasang oleh pemandu lori bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya lain.

Katanya, kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa yang dalam perjalanan dari rumahnya di Batu 15, Jalan Apas ke tempat kerja di Kilang Teck Guan melanggar bahagian belakang kanan lori berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong kanan jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balung,” katanya.

Menurut Jasmin, pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan secara melulu atau membahayakan.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati serta memastikan kenderaan rosak dialihkan ke tempat selamat dan memasang papan tanda amaran, terutama di kawasan gelap, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.