KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkan kejayaan anak jati Sabah, Gerald Wong, sebagai bukti keupayaan rakyat negeri ini untuk memimpin agenda pembangunan luar bandar di peringkat serantau.
Gerald dipilih sebagai penerima The 7th ASEAN Rural Development and Poverty Eradication Leadership Award, sekali gus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas ASEAN.
Hajiji berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan anak Sabah mampu bersaing serta menjadi peneraju kepada inisiatif pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan komuniti luar bandar.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian yang amat membanggakan ini. Kejayaan saudara Gerald wajar dijadikan inspirasi kepada belia Sabah bahawa usaha gigih dan komitmen membangunkan masyarakat mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Gerald di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.
Gerald yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou, dipilih sebagai satu daripada 20 penerima anugerah yang mewakili 10 negara ASEAN, meletakkan Sabah sebaris dengan tokoh pembangunan luar bandar serantau.
Mengulas pengiktirafan itu, Gerald berkata kejayaan tersebut adalah hasil usaha kolektif bersama komuniti luar bandar yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif pertanian moden.
“Melalui Farm Tokou, kami memperkenalkan kaedah pertanian moden seperti hidroponik, akuaponik serta sistem berteknologi tinggi, disertai latihan kemahiran dan pembangunan ekonomi komuniti,” katanya.
Menurut beliau, Farm Tokou kini beroperasi di Telupid dan Penampang, serta telah membimbing lebih 100 komuniti luar bandar di 10 daerah sejak 2023, termasuk Sook, Ranau, Kudat dan Papar.
“Anugerah ini bukan milik individu, tetapi milik semua komuniti luar bandar yang berani menerima perubahan dan inovasi,” katanya.
