KOTA KINABALU : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang menubuhkan fasiliti Hospital Nabawan dimasukkkan dalam Pelan Induk Perancangan Fasiliti Kesihatan dilaksanakan Rancangan Malaysia Ketujuh Belas (RMKe-17).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, ketika ini semua rawatan pesakit di daerah Nabawan akan diberikan melalui fasiliti di Klinik Kesihatan Nabawan sedia ada.
Katanya, ia termasuk Klinik Jenis Empat dikenal pasti berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi klinik lain di daerah Nabawan.
“Pada tahun 2019, skop perkhidmatan Klinik Kesihatan Nabawan sudah diperluaskan dengan penambahan Unit Hemodialisis.
“Selain itu ia merangkumi daripada Perkhidmatan Pesakit Luar (OPD), Kesihatan Ibu dan Anak (MCH), Kecemasan, Radiologi (X-ray), Makmal Kesihatan Primer, Farmasi, Pemakanan serta Perkhidmatan Jurupulih Perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, di sini hari ini.
James berkata, bagi memastikan perkhidmatan rawatan secara konsisten pengenalan kepada sistem kerja syif di Unit Kecemasan serta tambahan kepada Ruang Pemantauan Pesakit dilaksanakan sejak tahun 2017.
“Ini bagi membolehkan perkhidmatan diberikan secara 24 jam khusus dapat diberikan kepada penduduk di sekitar kawasan daerah Nabawan.
“Sistem ini dilaksanakan untuk memudahkan penduduk Nabawan mendapatkan rawatan kecemasan pada bila-bila masa,” jelas James.
Menurutnya, sekiranya terdapat perkhidmatan kecemasan serta kritikal pesakit akan dirujuk ke Hospital Keningau untuk menerima rawatan pakar.