KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan bahawa proses yang sedang berjalan melibatkan dua pelajarnya bertujuan memberi ruang kepada pihak berkaitan untuk mengemukakan penjelasan serta memastikan semua fakta diteliti secara menyeluruh.
Dalam satu kenyataan, universiti itu berkata proses berkenaan dimulakan berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima daripada pihak berkuasa.
Menurut UMS, pihaknya komited memastikan setiap pelajar diberikan peluang yang adil dan sewajarnya selaras dengan prinsip keadilan, tadbir urus yang baik dan peraturan universiti yang berkuat kuasa.
UMS turut menegaskan bahawa sebagai institusi pendidikan tinggi awam, universiti sentiasa mendukung aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan mahasiswa yang berilmu, berfikiran kritis, berintegriti dan bertanggungjawab.
“Universiti juga percaya bahawa penglibatan mahasiswa dalam isu-isu masyarakat merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan pembangunan kepimpinan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, UMS meminta semua pihak menghormati proses yang sedang berjalan dan memberi ruang kepada universiti menjalankan tanggungjawabnya secara profesional, adil dan saksama.
