Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason lokasi perkhidmatan kesihatan sementara

KOTA KINABALU: Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason digunakan sementara bagi semua perkhidmatan kesihatan selepas terbabit dalam kebakaran semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Asits Sanna berkata, ini bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di kawasan terbabit susulan kebakaran Klinik Kesihatan Tangkarason semalam.

Katanya, buat masa ini juga, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

“Dengan dukacitanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ingin memaklumkan Klinik Kesihatan Tangkarason yang terletak di Daerah Beluran, Sabah musnah terbakar awal pagi tadi. 

“Kebakaran ini turut melibatkan sebuah kuarters yang terletak bersebelahan dengan klinik terbabit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr. Asits berkata, keseluruhan bangunan klinik dan kuarters yang berstruktur kayu termasuk semua aset dan kelengkapan perubatan serta peralatan musnah sepenuhnya dalam kejadian ini.

“Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” jelas Dr. Asits.