RM200 juta setahun kerugian akibat kes curi karan – Madius

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM200 juta setahun akibat perbuatan mencuri bekalan elektrik atau lebih dikenali sebagai ‘curi karan’ dalam kalangan penduduk tempatan di Sabah.

Pengerusinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata SESB berdepan kehilangan elektrik sebanyak 17 peratus dalam grid bekalan elektriknya, dan daripada jumlah itu 10 peratus merupakan kehilangan secara teknikal manakala tujuh peratus kehilangan bukan teknikal atau akibat kecurian.

Katanya, daripada anggaran sudut kewangan, satu peratus kehilangan elektrik itu menyebabkan SESB kerugian RM30 juta setahun, justeru kehilangan bukan teknikal atau kecurian itu menyebabkan kerugian RM210 juta setahun kepada SESB.

“Jumlah ini (RM210 juta setahun) merupakan 25 peratus daripada kerugian keseluruhan dihadapi SESB. 

“Jumlah itu juga cukup untuk membantu mengurangkan kebergantungan SESB kepada subsidi kerajaan yang ketika ini sekitar RM850 juta setahun,” katanya di sini semalam.

Madius berkata, ini juga bererti bahawa jika sekiranya kita dapat membanteras kecurian ini, kelestarian kewangan SESB akan jauh lebih baik. 

“SESB adalah mangsa penjenayah curi karan, oleh sebab itulah tu SESB sangat mengambil serius untuk membanteras kegiatan mencuri ini.

“Saya yakin dan percaya melalui pertemuan ini, ia akan meningkatkan lagi kerjasama yang sedia terjalin antara SESB dan PDRM pada masa akan datang. Sama-sama kita perangi jenayah dan kegiatan mencuri elektrik ini,” kelas Madius.

Beliau berkata kerjasama itu penting kerana SESB hanya merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tidak mempunyai kuasa berdasarkan undang-undang untuk menahan mereka yang terlibat dalam kes kecurian elektrik