Desak Filipina tubuhkan konsulat di Sabah – Yong

KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia mesti melakukan yang terbaik dalam mendapatkan kesediaan Kerajaan Filipina untuk menubuhkan sebuah konsulat di Sabah sebagai susulan kepada kejayaannya mengatasi cubaan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, dengan menubuhkan sebuah konsulat Filipina di Sabah, Filipina akan memberitahu rakyatnya sendiri di Filipina supaya melupakan tuntutan khayalan mereka terhadap Sabah.

“Sabah tidak pernah dimiliki atau diperintah oleh Sulu atau Filipina pada bila-bila masa dalam sejarah Sulu atau Filipina. Pemberian yang dipanggil 22 Januari 1878 itu sendiri terbatal oleh pemberian sebelumnya antara Brunei dan Overbeck/Dent pada 29 Disember 1877,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mengulas keputusan Mahkamah Rayuan The Hague memihak kepada Malaysia dengan menolak untuk mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu.

Katanya, ianya berita baik kerana Malaysia berjaya mengatasi cubaan yang remeh oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu yang tidak lagi berfungsi dan ini membawa kelegaan kepada rakyat Sabah.

Nampaknya usaha pihak yang menuntut Sulu telah merugikan mereka dan penyokong kewangan mereka,” katanya.

Tidak perlu bawa tuntutan Filipina/Sulu ke ICJ

Yong juga berkata, tidak ada keperluan sama sekali untuk membawa tuntutan Filipina/Sulu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana Malaysia telah berjaya mengalahkan percubaan Filipina untuk membawa tuntutan mereka kepada ICJ melalui kes Pulau Ligitan/Sipadan pada tahun 2001.

“ICJ telah memutuskan bahawa Filipina telah gagal menunjukkan bahawa ia mempunyai “kepentingan yang bersifat undang-undang” terhadap kes Ligitan/Sipadan. Filipina telah cuba campur tangan dalam kes Ligitan/Sipadan antara Malaysia dan Indonesia dengan mengatakan bahawa mereka (Filipina) memiliki kepulauan Ligitan/Sipadan berdasarkan tuntutan mereka ke atas Sabah. Percubaan oleh Filipina itu telah digugurkan oleh ICJ (pada tahun 2001),” katanya.

Menurut beliau, terdapat banyak bukti dokumentari yang menunjukkan bahawa kesultanan Sulu yang kini tidak berfungsi mahupun Republik Filipina tidak pernah memerintah mana-mana bahagian Borneo Utara (kini Sabah).

“Kerajaan Malaysia mesti menunjukkan kepada rakyat Filipina/Sulu bahawa ia juga demi kepentingan mereka sendiri untuk menghentikan tingkah laku sia-sia mereka menuntut Sabah. Semoga hubungan baik kejiranan dalam suasana menang-menang antara Malaysia Sabah dan Filipina Bangsamoro makmur bersama dengan aman.

“Biarlah rakyat Filipina yang tinggal di Sabah mendapat perkhidmatan konsulat yang sangat diperlukan dan yang telah dinafikan oleh kerajaan mereka sendiri (Republik Filipina),” katanya.