Kelegaan Rakyat Selepas Kemenangan Kes Tuntutan Sulu – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Kemenangan di mahkamah antarabangsa dalam kes tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia membuktikan bahawa kerajaan berjaya mempertahan hak, harta serta kedaulatan negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata, kemenangan Malaysia di Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda dan Mahkamah Rayuan Paris di Perancis boleh menjadi pengakhir kepada segala usaha pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengganggu gugat kedaulatan negara ini.

“Ini juga membuktikan dakwaan kumpulan tersebut tidak berasas, gagal dan tidak boleh dilayan,” katanya di sini hari ini.

Bung Moktar merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kemenangan ini lebih dirasai oleh rakyat Sabah yang selama ini dihantui dengan tuntutan ini sehingga ada pihak mendakwa kes ini dipolitikkan dan akan panas apabila pilihan raya berlaku.

“Kejayaan ini sudah tentu merupakan hasil kerjasama antara pihak terlibat yang berusaha serta bersatu hati dalam mempertahan hak, harta dan kedaulatan Malaysia,” katanya.

Bung Moktar berkata, semasa persidangan Dewan Rakyat beliau sering kali membangkitkan isu itu dan berharap kerajaan komited untuk menangani isu yang sudah sekian lama berlarutan dan hari ini keseriusan kerajaan menanganinya berakhir dengan kejayaan ini.

Pada 6 Jun lepas, Malaysia melakar sejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh penimbang tara antarabangsa Dr Gonzalo Stampa dan memutuskan Stampa telah terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya.

Terdahulu, ketika mengumumkan keputusan penting itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sekali gus menghalang apa-apa usaha pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.

Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda hari ini menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 billion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Award itu telah diberikan oleh Stampa pada 28 Feb 2022 kepada lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.