KOTA KINABALU: Pelbagai inisiatif dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke arah pembudayaan kerja selamat dan sihat dalam kalangan warga universiti.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah kendalian Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) UMS bagi mendidik dan menerapkan amalan kerja yang selamat dan sihat.
“Salah sebuah usaha yang dijalankan termasuklah meraikan sambutan Hari OSH Sedunia bersama Kementerian Sumber Manusia dan beberapa agensi yang berkaitan bagi memberi maklumat terkini berkaitan isu-isu keselamatan dan kesihatan serta mempromosi budaya kerja ini dalam kalangan majikan, pekerja dan orang awam.
“Antara pengisian sambutan ialah Program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Melalui Pertandingan Video TikTok bertemakan KKP; Kuiz Pengenalpastian Hazard; OSH Cross Word Puzzle; dan Program Commuting Safety Support (CSSP).
“Turut diadakan Kempen Derma Darah daripada Hospital Tuaran dan Hospital Queen Elizabeth 2; pameran dari pelbagai agensi seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, PERKESO, dan NIOSH,” katanya.
Dr. Kasim berucap demikian pada majlis penutupan Sambutan Hari OSH Sedunia dan Prapelancaran Minggu OSH peringkat UMS 2023, di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud.
Dr. Kasim berkata, pihak UMS juga berbesar hati menerima tawaran pihak PERKESO dan MIROS bagi penyertaan Program Commuting Safety Support (CSSP) tahun 2023 bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dalam kalangan kakitangan UMS.
“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada PERKESO dan MIROS atas penganjuran CSSP yang melibatkan 30 kakitangan UMS.
“Adalah menjadi harapan saya dan pihak pengurusan UMS agar Kementerian Sumber Manusia terus memberikan sokongan berterusan kepada UMS terhadap inisiatif-inisiatif sebegini, sama ada di peringkat universiti mahupun di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Mustapha memaklumkan usaha yang dilaksanakan UMS wajar dicontohi universiti awam dan swasta khususnya di Sabah dalam usaha mendidik dan menerapkan amalan kerja yang selamat dan sihat dalam kalangan pekerja.