Projek Pemindahan Ilmu Daripada Universiti Kepada Komuniti Mampu Basmi Kemiskinan

Oleh: Dr. Jakaria Dasan
Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, UMS

Kurangnya minat kepada ilmu menyebabkan perkembangan dalam penghidupan menjadi statik dan tidak meningkat maju. Semakin kita menjauhi ilmu, semakin terperosoklah kita dalam lembah kejahilan.

Tidak mustahil, kedegilan meningkatkan ilmu pengetahuan akan membawa kepada kemiskinan. Kemiskinan yang dikhuatiri berlaku adalah kemiskinan yang membawa kepada kekufuran.

Rata-rata hujah bersetuju bahawa ilmu yang sentiasa berkembang akan menjadikan kehidupan seseorang itu kekal stabil ekonominya.

Malah, dengan ilmu pengetahuan yang sentiasa berubah akan menjadikan seseorang itu mempunyai kelebihan ke atas orang lain. Hatta, ilmu yang dikongsikan oleh sekumpulan ahli dalam komuniti akan membawa impak menyeluruh kepada seluruh penduduk dalam komuniti tersebut jika diurus dengan baik.

Fokus rencana ini adalah menjurus kepada pengalaman pembangunan sosio ekonomi komuniti kesan dari pemindahan ilmu yang dilakukan oleh universiti kepada komuniti Bombon Marakau Ranau di Sabah.

Sebuah komuniti yang berkecimpung dalam industri pelancongan luar bandar yang asalnya hanya berfokus kepada penawaran pengalaman pelawat dan pelancong bermain dengan ikan jinak yang ditagal (dilindungi) di Sungai Mansahaban sahaja. Jumlah keuntungan sangat minima disebabkan pakej penawaran dan kemudahan asas yang terhad.

Namun, setelah berlaku pemindahan ilmu dari universiti kepada komuniti, Bombon Marakau Ranau telah berubah menjadi katalis peningkatan hasil pendapatan penduduk kampung secara keseluruhannya.

Antara rahsianya adalah kewujudan pemimpin dalam komuniti yang menjadi model peranan (role model) kepada ahli-ahli dalam komuniti, sikap bersatu padu ahli-ahli dalam komuniti, dan peningkatan kemudahan asas serta pemindahan ilmu yang sesuai sepertimana kehendak komuniti itu sendiri.

Pada awal tahun 2019, Bombon Marakau Ranau mula beroperasi secara komersial dengan dukungan dan sokongan dari Jabatan Perikanan Sabah, selaku jabatan kerajaan negeri yang menjaga hal ehwal berkaitan tagal di negeri Sabah. Persatuan Tagal Sg. Mansahaban Kg Marakau Ranau beruntung kerana dipimpin oleh En Hamdan Jaini, seorang yang pakar dalam bidang penjinakan ikan.

Beliau juga dihormati oleh ahli-ahlinya yang rata-rata terdiri daripada kumpulan belia. Beliau juga mudah menerima pandangan dari pihak luar yang ingin membantu memajukan Bombon Marakau Ranau.

Dari sikap pemimpin dan kesediaan komuniti inilah, maka Bombon Marakau Ranau dipilih mewakili Zon Borneo (Sabah dan Sarawak) sebagai kampung perintis menerima dana U4S dari Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2020 untuk Zon Borneo.

Dua universiti terlibat dalam projek pemindahan ilmu kepada komuniti ini ialah Universiti Malaysia Sabah (selaku Ketua Zon) dan Universiti Malaysia Sarawak.

Berlaku peningkatan pakej tawaran produk hasil dari pemindahan ilmu dalam projek eko-tantadan (Kelulut), pembangunan agro-pelancongan, inovasi aplikasi Marakau Tourism, pengkomersialan produk menggunakan gerai/kiosk beroda dan pemasaran digital produk pelancongan dan hasilan produk komuniti.

UMS menerusi Dana Kelestarian Masyarakat dibawah pentadbiran Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut@ Mohd Nasri, telah mengambil inisiatif tambahan dengan memperindahkan lagi infrastruktur Bombon dan menambah projek kecil-kecilan lain yang memperbanyakkan lagi pakej tawaran produk kepada para pelancong.

Ini termasuklah peningkatan hasil produk parang dengan pembinaan bengkel membuat parang yang kondusif, meningkatkan bilangan isi rumah terlibat menerusi penawaran satu rumah satu produk kraftangan, pembaikan tandas yang menitik beratkan kebersihan, dan promosi riadah di Bukit Dumpurongan Marakau.

UMS juga menerusi program AKEPT-UMS SDG Leadership: University for Society melaksanakan program perkongsian ilmu dari wakil-wakil seluruh universiti awam di komuniti ini.

Program signatur kepimpinan AKEPT ini dilaksanakan menggunakan modul yang dibina dua orang pensyarah UMS iaitu Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy dan Dr. Jakaria Dasan telah dilaksanakan sebanyak dua kali menggunakan dana AKEPT. Kohot 1 dilaksanakan pada Mei 2022 dan Kohot 2 pada Mei 2023.

Seramai hampir 40 orang pensyarah dari seluruh 20 IPTA terlibat dalam kohot 1. Bilangan yang hampir sama turut direkodkan dengan penyertaan beberapa orang wakil ahli akademik dari IPTS pada kohot 2.

Peserta program telah didedahkan mengenai maklumat sosio-ekonomi komuniti ini dengan izin komuniti. Daripada maklumat yang diperolehi, para peserta dalam kalangan ahli akademik dengan pelbagai bidang kepakaran telah mengadakan lawatan dan perbincangan dalam kumpulan dan membentangkan kepada pimpinan komuniti akan idea tambahan yang boleh meningkatkan lagi penawaran dan menjana hasil pendapatan komuniti Bombon Marakau Ranau.

Program AKEPT-UMS SDG Leadership:U4S bukan sahaja memberi pengalaman berguna kepada para peserta mengenai kaedah yang efektif dalam pelaksanaan program libatsama dalam komuniti bahkan telah juga mengetengahkan idea tambahan untuk komuniti ini terus lestari dalam perniagaan yang mereka ceburi.

Bukan sahaja produk baharu diperkenalkan malahan produk sedia ada yang turut ditawarkan oleh penduduk kampung juga dikhabarkan semakin laris jualannya.

Hal ini berlaku kerana Bombon Marakau Ranau sudah kian dikenali oleh pelancong tempatan dan luar negara. Ini disebabkan oleh sokongan Lembaga Pelancongan Sabah menerusi inisiatif Persatuan Pelancongan Daerah Ranau yang bersama-sama mempopularkan Bombon Marakau sebagai destinasi pelancongan yang wajib dilawati jika bertandang ke Sabah amnya dan Ranau khasnya.

Kejayaan projek pemindahan ilmu dari universiti kepada masyarakat ini telah dibentangkan kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi semasa lawatan kerja beliau ke UMS baru-baru ini.

Dalam taklimat yang disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, Naib Canselor UMS, UMS mempunyai iltizam yang kuat mempertingkatkan sumbangan universiti ke seluruh daerah di negeri Sabah.

Terdapat beberapa buah komuniti yang dikenali sebagai Komuniti Tertumpu di daerah-daerah sekitar negeri Sabah turut menerima perhatian yang sama dari UMS sepertimana komuniti Bombon Marakau Ranau.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bahawa salah satu dari usaha membasmi kemiskinan ialah menerusi pemindahan ilmu yang menitikberatkan inovasi sosial kepada komuniti.

Dengan yang demikian, kelestarian projek sosio-ekonomi dapat direalisasikan sekaligus meningkatkan hasil pendapatan komuniti. Usaha yang dilakukan oleh UMS di Bombon Marakau Ranau ini dan juga oleh beberapa IPTA di seluruh negara dalam komuniti masing-masing adalah apa yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi melebarluaskan lagi peranan uinversiti dalam meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.