Dana penjenamaan Sabah Electricity sebaiknya digunakan kepada menstabilkan bekalan elektrik di Sabah – Azhar

KOTA KINABALU : Proses penjenamaan Sabah Electricity dikenal pasti menggunakan dana besar sekali gus apakah ini akan menjamin kestabilan bekalan elektrik di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Azhar Matussin berkata, lebih menjimatkan sekiranya dana penjenamaan Sabah Electricity digunakan untuk memastikan bekalan elektrik lebih stabil kepada masyarakat sekali gus menjamin kemampanan bekalan elektrik kepada peniaga.

Katanya, proses penjenamaan Sabah Electricity sudah tentu menelan belanja sehingga jutaan ringgit berikutan membabitkan penukaran identiti termasuk logo pada premis, dokumen rasmi syarikat, kenderaan, pakaian rasmi dan lain-lain lagi.

Katanya, isu gangguan di Sabah, kini berada dalam status yang sangat kritikal membabitkan lokasi penting termasuk Lokasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mengalami gangguan pada 30 Ogos 2023.

“Lebih memburukan keadaan ini sekali lagi berlaku di KKIA pada 29 Oktober tahun lalu serta Hospital Queen Elizabeth (QEH) kerana mengalami beberapa siri gangguan bekalan elektrik dan yang terakhir pada 21 Julai tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar merupakan Bendahari Parti Warisan (Warisan) berkata, kestabilan bekalan elektrik merupakan faktor penting berikutan melibatkan pelaburan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Kita melihat penjenamaan Sabah Electricity ini dilihat sebagai ‘Tidak Kena Pada Masanya’ kerana perkhidmatan Sabah Electricity kini menghantui seluruh rakyat Sabah secara amnya.

“Adalah difahamkan, kapasiti janaan Sabah Electricity adalah 1,217 Megawatt berbanding keperluan puncak setakat November 2023 adalah pada paras 1,090 Megawatt,” jelas Azhar.

Menurutnya, perbezaan atau lebihan 127 Megawatt atau 11 peratus lebihan janaan ini adalah sangat kritikal.

“Kesan ini akan menyebabkan bekalan elektrik terganggu sekiranya terdapat sebarang kerosakan luar jangka pada penjanaan sedia ada.

“Kapasiti lebihan yang terlalu sedikit sudah lama dibincangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi, apakah tindakan Sabah Electricity terhadap perkara ini,” kata Azhar.

Beliau berkata, Sabah Electricity seharusnya lebih fokus kepada pembangunan penjanaan dengan mempelbagaikan lagi pembangunan penjanaan menggunakan teknologi Hijau berbanding proses penukaran identiti yang tidak memberikan impak langsung kepada perkhidmatan syarikat.

“Secara tidak langsung gangguan bekalan elektrik ini juga memberikan kesan kerugian secara langsung peniaga.

“Ia juga boleh menyebabkan kerosakan barangan elektrik kepada rakyat di seluruh negeri Sabah,” tambah Azhar.