COVID: UMS sedia laksana pemberian 1,000 dos vaksin sehari

KOTA KINABALU (Bernama): Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia untuk melaksanakan pemberian 1,000 dos vaksin sehari menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Naib Canselornya Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Beliau berkata UMS adalah antara 19 Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang disenaraikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) dan pemilihan UMS diharap dapat mempercepat pemberian suntikan vaksin COVID-19 di negeri ini.

“Pengurusan universiti telah meluluskan cadangan menjadikan UMS sebagai PPV pada 25 Mei lepas. Kementerian Pengajian Tinggi telah menetapkan 1,000 dos suntikan sehari kepada Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) bagi mempercepat proses vaksinasi dalam kalangan masyarakat.

“HUMS telah membuat persiapan bagi memastikan vaksinasi dapat dilakukan dengan baik di kampus ini, UMS menghargai usaha murni ini dan berterima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata untuk rekod inisiatif PPV di Universiti Awam dan IPT itu mampu memberikan 14,400 vaksin sehari atau 432,000 vaksin sebulan di seluruh negara.

Taufiq berkata sejak daripada awal COVID-19 dikesan, UMS telah terlibat secara langsung dalam membantu kerajaan negeri Sabah mengekang penularan pandemik tersebut.

“Kita sebelum ini juga telah dijadikan sebagai satu daripada pusat ujian sampel COVID-19 dan dengan adanya pengalaman, kepakaran dan kelengkapan yang dimiliki, sesungguhnya UMS atau secara spesifiknya HUMS mampu menggalas tanggungjawab diberikan,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply