PKP: Lebih 2,000 anggota pelbagai agensi digerak di Sabah – Pesuruhjaya Polis

KOTA KINABALU (Bernama): Seramai 2,089 anggota pelbagai agensi digerak di Sabah bagi memastikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan lancar dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Beliau berkata 100 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di Sabah iaitu SJR Op COVID-19 (52), SJR Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (38) dan SJR Op Benteng (10).

“Seramai 368 anggota kumpulan pemantauan juga akan digerakkan ke kawasan yang mempunyai kenaikan kes COVID-19 yang tinggi iaitu di Kunak, Tawau dan Lahad Datu bagi memastikan SOP dipatuhi di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Hazani juga berkata polis sedang menyiasat perbuatan orang ramai yang mandi di Pantai Gorongon dekat Kampung Contoh, Petagas dalam tempoh pelaksanaan PKP ketika ini.

Semalam, empat individu berusia lingkungan lapan hingga 17 tahun lemas selepas mandi di pantai itu dan mayat mereka ditemukan antara 8.23 malam dan 9.35 malam.

Hazani berkata polis juga sedang menyiasat kes seorang individu yang didakwa mencabul seorang peserta pertandingan Unduk Ngadau 2021 baru-baru ini.

Beliau berkata siasatan akan dilakukan secara telus berdasarkan undang-undang sedia ada dan tindakan sewajarnya akan diambil tanpa mengira latar belakang individu terlibat.

“Setakat ini, saya belum boleh komen lanjut kerana belum dapat lagi laporan (kes) berkenaan… saya kena dapatkan laporan lengkap daripada ibu pejabat daerah yang menerima laporan itu,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial mengenai laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa berkelakuan tidak sopan dan mencabul peserta terbabit.

SabahNewsToday

Leave a Reply