PPUMS sambut baik sumbang elaun penjawat awam bagi Tabung Amanah Bencana COVID-19: No’man

KOTA KINABALU: Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali bagi membolehkan penjawat awam menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana COVID-19 di negara ini.

Presidennya, No’man Ahmad berkata, langkah ini dilihat sebagai komitmen serta manifestasi solidariti penjawat awam untuk menyumbang sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam mengikut gred jawatan yang disandang mereka bagi tempoh tiga bulan.

Katanya, PPUMS menganggap sumbangan kakitangan awam ini tidak membebankan, berpatutan serta selari dengan keprihatinan kakitangan awam terhadap cabaran menghadapi Pandemik covid-19 di negara ini.

“Kita ingin mengajak juga seluruh syarikat milik penuh kerajaan (GLC) serta pihak swasta tampil untuk turut bersama-sama bersolidariti dengan melakukan sumbangan sama melalui pemotongan Elaun Lembaga Pengarah dan kakitangan syarikat masing-masing.

“Langkah ini menunjukkan kebersamaan semua pihak dalam menjayakan hasrat ini sekali gus membantu kerajaan mengurangkan kadar jangkitan pandemik COVID-19 di negeri ini.

No’man berkata, dalam tempoh sama PPUMS menggesa agar senua pihak supaya berhenti mempolemikkan isu sumbangan kakitangan awam ini dengan memberi tumpuan dalam menangani pandemik ini secara bersepadu, cekap serta berkesan.

“PPUMS menyuarakan sokongan serta setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan di dalam kategori Frontliners….kami mendoakan kesejahteraan serta kesihatan yang cemerlang terus berkekalan dalam menangani COVID-19,”katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, No’man berkata PPUMS menzahirkan kebanggaan serta penghargaan kepada Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan dan menjejaki, seterusnya memintas 16 pesawat pengangkut strategik People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) (PLAAF) daripada memasuki ruang udara negara ini.

“PPUMS juga mendokong penuh bantahan keras Kementerian Luar Malaysia terhadap pencerobohan ini dan memanggil Duta Besar China ke Malaysia bagi menyuarakan bantahan keras Malaysia terhadap tingkah
laku PLAAF tersebut,” katanya.

Sabahnewstoday

Leave a Reply