Calon PKR Bukit Batu positif Covid-19

JOHOR: PKR berdepan cabaran kempen di kerusi DUN Bukit Batu selepas calonnya Chiong Sen Sern dijangkiti Covid-19.

Ini akan memaksanya untuk kuarantin kendiri dan dikecualikan daripada sebarang aktiviti kempen fizikal selama sekurang-kurangnya lima hari, hampir separuh daripada tempoh kempen 14 hari.

“Dengan berat hati, saya telah disahkan dijangkiti Covid-19 selepas menjalani kit ujian antigen pantas.

“Sudah menjadi amalan saya untuk membuat ujian kendiri setiap hari sebelum saya memulakan sebarang program untuk keselamatan semua.

“Saya minta maaf kerana saya terpaksa membatalkan semua program yang telah diatur,” katanya dalam satu kenyataan.

Dia menasihatkan sesiapa yang pernah mempunyai kontak dengannya baru-baru ini supaya turut menjalani ujian kendiri sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, Chiong menegaskan dia tidak akan meninggalkan kempen itu.

“Pasukan saya akan meneruskan semua aktiviti yang telah dirancang untuk penduduk Bukit Batu.

“Saya akan meneruskan kempen digital dalam talian termasuk di Whatsapp, Facebook dan saluran media sosial lain,” katanya.

Chiong akan berdepan calon BN S Spayyah dan Tan Heng Choon dari PN di Bukit Batu yang terdiri daripada 58 peratus pengundi Cina, 34 peratus Melayu dan tujuh peratus India.

Timbalan Ketua PKR Johor Jimmy Puah adalah penyandang kerusi itu sejak 2013.

Bagaimanapun, Puah tidak bertanding dalam PRN kerana dia merancang untuk mengambil kerusi parlimen pada pilihan raya umum yang dijadualkan pada 2023.