KOTA KINABALU: Cadangan usaha usaha mendaftarkan secara rasmi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat demi kestabilan serta kemajuan rakyat di negeri ini.
Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, usaha itu bukan sahaja mampu menstabilkan politik serta Kerajaan Sabah tetapi malah mampu membantu melonjakkan lagi perkembangan ekonomi dan kemajuan negeri.
“Kita kena faham bahawa untuk menarik pelabur luar ke Sabah, faktor paling penting ialah kestabilan kerajaan itu sendiri. Jika GRS didaftar menjadi satu gabungan politik rasmi, maka kita yakin lebih ramai pelabur luar akan datang ke negeri ini.
“Keadaan itu secara langsung mampu meningkatkan pendapatan serta kemajuan ekonomi di Sabah sekali gus membolehkan kita menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun bahawa mesyuarat secara tidak rasmi sudah membincangkan mengenai usaha ke arah itu.
GRS dibentuk sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020 dan dianggotai oleh Barisan Nasional (BN), Perikanan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berharap, usaha mendaftarkan GRS sebagai satu gabungan rasmi dipercepatkan bagi membolehkan pewujudan gerak kerja lebih tersusun dalam menyelesaikan sesuatu isu atau melaksanakan perancangan pembangunan rakyat.
“Kita berharap dengan terdaftarnya GRS secara rasmi bukan sahaja melancarkan gerak kerja Kerajaan tetapi juga gerak kerja parti yang akan bekerja mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
“Kita mahu gabungan ini menjadi satu gabungan yang kuat dan erat serta bekerja demi Sabah. Masa depan rakyat Sabah bergantung kepada Kerajaan yang kuat dan stabil. Itu yang menjadi asas kepada kelancaran pentadbiran dan pembangunan rakyat,” katanya.