Penampang diisytihar daerah wabak ASF – Dr Jeffrey

KOTA KINABALU: Penampang menjadi daerah ke-20 diisytiharkan sebagai daerah wabak Demam Babi Afrika (ASF) di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, virus itu mula dikesan di Penampang pada 14 Disember 2021 serta merebak ke lima kampung di Inobong, Sugud dan Koidupan.

“Kes itu melibatkan sebanyak 229 ekor khinzir belakang rumah milik enam pemilik berbeza. Kerugian dianggarkan mencecah RM115,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata, Penampang mempunyai dua ladang babi komersial dengan anggaran 2,900 ekor.

Bagi mengelak wabak itu merebak ke daerah berhampiran, Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan mengadakan kempen kesedaran di daerah Penampang bagi memastikan rakyat mendapat maklumat mengenai ASF.

Jabatan itu juga akan memantau dan mengawal pergerakan babi dan produk khinzir bagi memastikan tiada yang keluar dari Penampang buat masa ini.

Sejak wabak ASF pertama kali diisytiharkan tahun lepas, 10 daerah telah diisytiharkan bebas ASF selepas 60 hari berlalu sejak kes terakhir dilaporkan.

Daerah ini ialah Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid, Tongod, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

“Kerajaan menyedari kebimbangan rakyat terutamanya apabila Tahun Baru Cina semakin hampir. Bagaimanapun, kami tetap optimis bekalan daging babi di Sabah akan mencukupi untuk memenuhi permintaan,” katanya.