Cadangan lokasi baharu atasi masalah banjir di Kinabatangan – Bung Moktar

KINABATANGAN: Cadangan penempatan baharu berbentuk kekal akan diwujudkan bagi mengelak penduduk tinggal berhampiran kawasan sungai terjejas akibat banjir.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kawasan Kampung Pengkalan Bukit Garam terletak berhampiran Sungai Kinabatangan merupakan antara kampung seringkali terjejas teruk apabila banjir melanda.

Katanya, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan mereka malah boleh mengundang bahaya sekiranya banjir besar berlaku di kawasan mereka.

“Sebelum ini saya sudah   menyarankan agar penempatan baharu diwujudkan bagi membolehkan penduduk di kawasan ini segera dipindahkan.

“Bagaimanapun setakat ini perkara ini belum masih belum mendapat maklum balas yang positif daripada mereka. Kita sangat risau kemungkinan besar banjir besar akan berlaku di masa depan,” katanya di sini hari ini.

Bung Moktar berkata, sebelum ini beliau ada mengemukakan cadangan untuk menempatkan penduduk di kawasan Pengkalan Bukit Garam ke kawasan tapak yang sudah dikenalpasti.

Namun cadangan tersebut tidak mendapat maklum balas yang positif dari kalangan penduduk menyebabkan rancangan tersebut tergendala begitu sahaja.

“Kita akan kemukakan semula cadangan ini serta berharap agar Pejabat Daerah Kinabatangan dapat mengenalpasti kawasan lain yang sangat bersesuaian dan selamat bagi penempatan semula penduduk dalam tempoh terdekat,” katanya.