Cadangan daftar GRS sebagai parti politik perlu diteliti – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Cadangan untuk mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan politik rasmi memerlukan penelitian lebih mendalam, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar, yang juga Timbalan Pengerusi I GRS, berkata BN dan UMNO Sabah sentiasa bersikap terbuka terhadap pandangan mendaftarkan gabungan itu sebagai parti politik namun kesan baik dan buruk cadangan berkenaan perlu diambil kira sebelum dilaksanakan.

“Itu adalah pandangan peribadi, kita sedia berbincang untuk meneliti cadangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Kelab Backbenchers GRS Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mencadangkan supaya pemimpin GRS mengambil langkah segera mendaftarkannya sebagai gabungan politik rasmi.

Salleh, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan, dilapor berkata ia sebagai langkah mengukuhkan GRS yang dibentuk pada Pilihan Raya Negeri ke-16 dan perlu bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli gabungan khususnya antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

GRS merangkumi gabungan PN, BN dan Parti Bersatu Sabah.

— BERNAMA