GRS contoh terbaik menangani kemelut politik negara

KINABATANGAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh menjadi contoh yang baik kepada gabungan parti di semenanjung.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah, berkata Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) sewajarnya meneladani politik GRS dalam menyelesaikan kemelut mereka.

“Hasil gabungan bersama  PN, BN dan PBS dalam GRS semasa Pilihanraya negeri (PRN) Sabah yang lepas, kita telah mendapat mandat rakyat yang kukuh,”

“Ini menunjukkan rakyat mahukan satu pemerintahan dan gabungan parti yang stabil untuk mentadbir negeri,” jelasnya ketika dihubungi pagi tadi.

Tambahnya, DPPNS turut menggesa GRS dapat diperkasa dengan mendaftarkan ia sebagai gabungan rasmi secepat yang mungkin.

Hal ini penting bagi mengelakkan mandat dan kepercayaan yang rakyat telah beri disiakan dengan perebutan kuasa.

Selain itu, beliau berpandangan penyatuan ummah perlu lebih bersifat menyeluruh dan terbuka, bukan disempitkan dan terikat dengan kelompok tertentu.

Menurutnya, keamanan dan kestabilan negara ini dapat dicapai dengan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“PN dan MN boleh diperkuatkan dengan gabungan Melayu dan Islam serta bumiputera yang mempunyai keikhlasan demi kestabilan politik negara,”

“Langkah pemerkasaan dua gabungan parti ini penting dalam membentuk kebersamaan berganding bahu mentadbir negara,” katanya.

Semalam, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), YB Ahmad Fadhli Shaari, mengeluarkan kenyataan DPPM mendukung penuh kenyataan Presiden PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkenaan pendirian PAS dalam MN dan PN.

Beliau menegaskan penyatuan ummah tidak harus terikat dengan kelompok tertentu dan aspek yang paling besar dalam memperkukuhkan penyatuan ummah seharusnya menyatukan semua lapisan masyarakat dan melibatkan semua pihak bagi meraikan kemajmukan masyarakat di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, DPPNS menyokong penuh pendirian yang ditegaskan oleh DPPM dan Presiden PAS.