RTM serta LSS wujud kerjasama erat di masa depan – Osman

Oleh: Nika Andy Anthony

KENINGAU: Hubungan erat antara RTM Sabah bersama Lembaga Sukan Sabah dilihat selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Pengerusi Lembaga Sukan Sabah (LSS) Osman Aganduk berkata, konsep itu boleh diterjemahkan dalam kegiatan sukan termasuk perlawanan persahabatan bola sepak yang dianjurkan hari ini.

Katanya, Konsep ‘Keluarga Malaysia’ menggariskan tiga teras utama dan 20 pengkayaan nilai untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik COVID-19.

“Tiga teras berkenaan termasuk menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, sekali gus sebagai teras utama dalam pengukuhan keluarga.

“Kita melihat konsep ini bersesuaian serta selaras dengan peranan RTM selaku agensi media kerajaan yang sangat diyakini dalam membuat laporan serta menyiarkan program untuk seisi keluarga.

“Kita melihat kehadiran serta sokongan anggota keluarga yang menyaksikan perlawanan persahabatan antara RTM dan LSS pada malam ini sangat bertepatan dengan Konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Osman berkata, pihaknya sentiasa berlapang dada untuk mengalu-alukan kerjasama dengan pihak RTM khususnya dalam menyebarluaskan peranan serta fungsi LSS di masa depan.

Sementara itu Pengurus Bola Sepak RTM Sabah, Nika Andy Anthony berkata, perlawanan persahabatan ini dilihat sebagai medan untuk menguji kecegerasan pemain selepas berehat lama akibat COVID-19.

“Kita sudah menjadualkan beberapa lagi siri perlawanan persahabatan sebelum menyertai perlawanan utama pada tahun depan.

“RTM juga turut mengalu-alukan sekiranya ada beberapa agensi kerajaan serta swasta yang berminat mengadakan perlawanan persahabatan sekali gus dilihat dapat menjalin semangat silaturahim dalam kalangan kedua-dua pasukan,” katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan mencatat keputusan 2-2 yang diadakan di Kompleks Sukan Keningau malam tadi.