Bung nafi mengelirukan Dewan Rakyat Isu Penamatan PDP Pan Borneo di Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Bung Moktar Radin menafikan dakwaan kononnya mengelirukan Dewan Rakyat apabila berhujah tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta Warisan menamatkan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi projek lebuhraya Pan Borneo di Sabah merupakan satu kesilapan besar.

Sambil mempertahankan kebenaran perkara itu, beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, PH dan Warisan yang berkuasa di negeri ini pada ketika itu sememangnya menamatkan PDP tanpa berfikir panjang terutama keperluan untuk menerbitkan Sukuk atau bon terlebih dahulu.

“Kerajaan Sarawak juga menamatkan PDP bagi projek Pan Borneo tetapi berbuat demikian selepas menerbitkan Sukuk.

“Sebab itu, pelaksanaan projek Pan Borneo di Sarawak berjalan lancar tanpa gangguan daripada segi kelewatan,” katanya.

Bung berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kontrak antara Sabah FC dan Ketua Jurulatih Bolasepak Sabah yang baharu Datuk Ong Kim Swee di sini malam tadi.

Bung diminta mengulas kenyataan beberapa anggota Parlimen PH yang mendakwa beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu tersebut.

Bung berkata susulan tindakan PH dan Warisan menamatkan PDP, projek Pan Borneo di Sabah kini hanya bergantung kepada peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setiap tahun daripada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pakej fasa pembinaan Pan Borneo itu yang bernilai puluhan bilion.

Katanya ini kerana ketiadaan peruntukan infrastruktur berikutan penamatan PDP tanpa menerbitkan Sukuk terlebih dahulu.

“Jika pelaksanaan projek Pan Borneo di Sabah bergantung semata-mata kepada peruntukan pembangunan RM1 bilion setiap tahun, maka ia akan mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk disiapkan,” katanya.

Bung tetap berpegang kepada kenyataannya sebelum ini dan mengulangi bahawa PH dan Warisan melakukan satu kesilapan besar dalam hal ini, sekali gus menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek Pan Borneo di negeri ini.