Bumburing kembali semula ke pangkuan UPKO

TUARAN: Bekas Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing kembali semula ke pangkuan parti itu setelah sekian lama berada di luar parti.

“Kepulangan” beliau ke “rumah” UPKO turut disertai lebih kurang 100 bekas ahli parti dari Keningau, Tambunan, Tamparuli, Kiulu, Kota Belud dan Kuala Penyu.

Majlis kemasukan semula dalam parti itu dibuat pada Majlis Pisompuruan Bersama Pimpinan UPKO, di Tuaran, hari ini.

Bumburing berkata beliau membuat keputusan itu selepas melihat perjuangan UPKO mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sabah serta usaha yang dibuat oleh Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick sejak mengambil alih kepimpinan parti itu.

“Ewon dan UPKO terkehadapan dalam soal memperjuangkan hak 40 peratus Sabah seperti dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila beliau menjemput saya ke perbincangan meja bulat mengenai perkara ini, saya terpanggil untuk memberi sumbangan secara aktif dan menyokong kepimpinan beliau,” katanya.

Sementara itu, Ewon menyambut baik “kepulangan” Bumburing dan ahli-ahli lain ke pangkuan UPKO setelah sekaian lama berada di luar parti.

“Dalam konvensyen tahun lepas, saya menyatakan jemputan terbuka untuk pengasas parti ini dan mantan ahli-ahli kembali semula kepada parti dan bersama-sama saya dalam meneruskan obor perjuangan. Saya berbangga dan sangat mengalu-alukan kebersamaan semula Datuk Bumburing dalam UPKO hari ini,” katanya.