Hari Bertemu Pelanggan usaha berterusan Polis Daerah Tawau

TAWAU : Hari Bertemu Pelanggan ruang kepada orang ramai mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan dalam organisasi PDRM khususnya di daerah Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, orang ramai berpeluang bertemu secara bersemuka kepada pihak Polis sekali gus berkongsi cara untuk menyalurkan matlumat bagi membenteras jenayah.

Katanya, melalui cara ini orang ramai lebih selesa untuk memberikan pendapat serta cadangan bagi  penambahbaikan organisasi PDRM di masa depan.

“Melalui konsep bersemuka ini, masyarakat boleh meluahkan apa jua masalah yang mereka hadapi kepada barisan kepimpinan Polis yang hadir.

“Polis Tawau juga dapat mendekati masyarakat bagi mendengar sendiri masalah berkaitan keselamatan setempat sambil memberikan panduan serta nasihat berkaitan pencegahan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Bertemu Pelanggan  di Dewan Terbuka Datuk Seri Najib, Merotai Besar, Tawau di sini semalam.

Jasmin berkata, program dianjurkan Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) ini mendapat sambutan yang baik dari masyarakat setempat.

“Kita akan diteruskan lagi program ini untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mencapai matlamat pucuk pimpinan PDRM.

“Selain itu langkah ini juga untuk mengekalkan ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khususnya di daerah Tawau,” jelas Jasmin.