Bubar Parlimen Awal Punca UMNO Tewas Pada PRU15 – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, cadangan membubarkan Parlimen lebih awal untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu bukan langkah terbaik dan tidak menjamin kemenangan UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berkata, pandangan yang simplistik tanpa fakta dan statistik oleh Ahli Majllis Kerja Tertinggi (MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan seperti itu yang menyebabkan BN tewas pada PRU15 lalu.

Beliau menegaskan, pandangan seperti yang disuarakan bekas Setiausaha Agong UMNO itu adalah punca sebenar kekalahan BN kerana Ahmad hanya membuat andaian mudah berlandaskan logik akal tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat Persekutuan kepada BN.

“Unjuran UMNO pada ketika itu, BN boleh melepasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan secara solo.

“Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif dilakukan sebelum membuat unjuran terbabit kerana akhirnya, BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat.

“Disebabkan yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Maslan dalam ciapannya di Twitter berkata, masa yang tepat sangat penting dalam politik terutama bagi memastikan parti boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Katanya, gelombang serta semangat parti pasca kemenangan dalam PRN Johor dan Melaka begitu kuat, malah ketika itu juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, masih dapat membantu parti untuk menang.

“Jika pihak ‘Putrajaya’ (kerajaan ketika itu diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri) ikut keputusan bersama, ketika gelombang kemenangan (PRN) Melaka (BN menang 21 daripada 28 kerusi) serta Johor (BN menang 40 daripada 56 kerusi), semangat masih tinggi dan ketika #BossKu (Najib) masih di luar, adakan PRU15, maka nasib UMNO dan BN tidak seteruk ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, sebagai Perdana Menteri ketika itu, beliau memperoleh laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang.

“Ketika itu, ekonomi sedang dalam proses pemulihan selepas kita terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Sepatutnya, proses pemulihan diteruskan, bukan bubarkan Parlimen.

“Usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat telah mula menunjukkan hasil. Buktinya, ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada 2022, terbaik di rantau Asia Tenggara, malah antara yang tertinggi di dunia.

“Namun, usaha itu tidak dapat diteruskan kerana desakan berterusan supaya Parlimen dibubarkan,” katanya.

Beliau berkata, PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan BN dalam PRU berikutan kedua-duanya adalah perkara berbeza, malah keadaan politik negara yang amat dinamik.

Katanya, PRN lebih tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi kerajaan yang mentadbir negeri pada ketika itu, manakala PRU pula membabitkan isu nasional.