KOTA KINABALU: Kira-kira 5,000 ahli dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah akan menghadiri konvensyen di Pusat Komersial dan Antarabangsa (ITCC) Penampang, Sabtu ini.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata konvensyen yang akan dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu antara lain membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan dengan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya, perhimpunan itu juga disasar untuk memperkukuh solidariti dalam kalangan parti komponen BN di Sabah.
“Perhimpunan ini akan menjadi saksi kesepakatan parti komponen BN Sabah yang turut memberi sumbangan besar dalam pembentukan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 dan berkemungkinan menjadi pertemuan terakhir ahli dan penyokong BN sebelum PRU-15.
“Ia akan membincangkan pelbagai isu relevan bagi memperkasa perjuangan parti dan melihat secara jujur segala rencana serta pelan BN dalam mengatur persediaan menghadapi PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata parti komponen BN perlu bersatu hati untuk menghadapi PRU-15 menerusi kesepakatan kepemimpinan dan jentera parti masing-masing.
“Empat parti komponen BN di Sabah saling memerlukan antara satu sama lain untuk terus mendokong kerajaan yang ada. BN perlu mengambil pendekatan merapatkan barisan kepemimpinan dalam menyatukan seluruh jentera di semua peringkat sebelum kita berhadapan PRU-15 yang akan diadakan bila-bila masa sahaja.
“Pendekatan kita mestilah berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini. Kita mahu kewujudan BN itu bukan sahaja dihargai tetapi sentiasa dekat di hati rakyat sebagai jenama yang sentiasa memperjuangkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Pelbagai program diatur untuk pengisian konvensyen berkenaan, antaranya forum Politik dan Ekonomi Sabah yang menampilkan tokoh politik dan ahli akademik antaranya Datuk Seri Salleh Said Keruak, Datuk Ahmad Shabery Chik, Drs Monih Epin dan Prof Madya Dr Ramzah Dambul.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak juga dijadual hadir dan menyampaikan syarahan Bicara Seorang Negarawan.
Turut diadakan ialah Forum Anak Muda yang disertai wakil pergerakan pemuda parti komponen BN Sabah selain Majlis Belia Malaysia (MBM).
BN Sabah kini dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).