KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memberikan tempoh tiga tahun kepada parti itu untuk mencari tokoh yang akan mengambil alih jawatannya menerajui parti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata PBS perlu mula mengenal pasti calon-calon yang berpotensi untuk menerajui parti ke peringkat seterusnya.
Beliau berkata pemilihan pusat parti Khamis ini boleh menjadi platform yang baik untuk berbuat demikian, dan menambah bahawa ia juga menyediakan peluang kepada pemimpin-pemimpin parti untuk membuktikan diri masing-masing.
“Saya mungkin akan berundur dari parti dalam tempoh tiga tahun, atau mungkin lebih awal, jadi kini kita boleh mula mengenal pasti calon-calon yang berpotensi (untuk jawatan presiden).
“Mereka masih belum membuktikan diri masing-masing, jadi saya berikan mereka peluang untuk berbuat demikian, sekurang-kurangnya saya berikan tempoh masa supaya parti mempunyai masa yang cukup untuk peralihan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kongres Tahunan Sayap Wanita dan Pemuda PBS di sini hari ini.
Ongkili dijangka mengekalkan jawatannya tanpa pertandingan pada pemilihan parti, manakala jawatan timbalan presiden akan ditandingi oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam, dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.
Dr Joachim, yang merupakan Naib Presiden PBS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang adalah seorang doktor; manakala Joniston yang merupakan setiausaha agung parti dan ADUN Kiulu, adalah bekas wartawan beberapa media termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), New Straits Times dan Sabah Times.
Ongkili dilantik sebagai pemangku presiden PBS pada 2017 dan mengambil alih jawatan sebagai presiden secara rasmi semasa Kongres Tahunan PBS pada Nov 2018.
— BERNAMA