Sabah daftar Kinabatangan sebagai tapak rizab biosfera dunia

KINABATANGAN: Kerajaan Sabah dalam usaha mendaftarkan Kinabatangan sebagai tapak rizab biosfera di bawah program Manusia dan Biosfera (MAB) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata ia sebagai pengiktirafan daerah berkeluasan 6,605 km persegi itu terhadap sumber semula jadi dengan pelbagai fungsi ekologi penting serta landskap Kinabatangan yang unik dan kaya dengan biodiversiti.

“Sekiranya berjaya maka Kinabatangan akan menjadi tapak rizab kedua di Sabah selepas Banjaran Crocker dan keempat di Malaysia.

“Dengan pengiktirafan ini, masyarakat antarabangsa akan tertumpu ke Kinabatangan, khususnya Sukau, untuk menikmati alam sekitar lestari yang cukup dijaga dengan pembabitan komuniti tinggal dalam sekitar kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Biodiversiti Sedunia di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau itu berkata perjalanan ke arah mendapatkan pengiktirafan berkenaan dijangka mengambil masa dua tahun menerusi pelaksanaan proses konsultasi oleh Pusat Biodiversiti Sabah dengan pihak pemegang taruh termasuk masyarakat setempat bermula Julai ini.

Katanya, dapatan daripada konsultasi itu adalah sebahagian keperluan bagi dokumen pencalonan yang akan dihantar ke UNESCO melalui kerajaan Persekutuan.

“Melalui program MAB ini, satu pelan pengurusan bersepadu berdasarkan perundangan Sabah yang sedia ada akan dibangunkan dengan penglibatan semua pemegang taruh di Kinabatangan.

“Zon pengurusan yang mempunyai objektif tersendiri seperti Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Transisi akan dikenal pasti agar semua pemegang taruh mempunyai peranan harus dimainkan dan seterusnya mendapat manfaat sewajarnya daripada sektor ekonomi terhasil daripada pengiktirafan antarabangsa ke atas tapak ini,” katanya.

— BERNAMA