BERSATU fokus, komited terus bela rakyat, pulih ekonomi negara

KUALA LUMPUR: BERSATU akan terus fokus dan komited meneruskan agenda membela rakyat dan memulihkan ekonomi negara, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, parti itu juga menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ahli Parlimen memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dan agenda memerangi COVID-19 pada Sidang Khas Parlimen yang sedang berlangsung.

Menegaskan semua Ahli Parlimen parti itu berdiri teguh dan menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin kerajaan, Ahmad Faizal mewakili BERSATU turut berterima kasih kepada sokongan Ahli Parlimen parti lain.

“BERSATU merakamkan ucapan terima terima kasih kepada semua Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan empat Ahli Parlimen bebas yang menzahirkan sokongan berterusan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam laporan Portal Berita Harian hari ini.