KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen UMNO mesti menjarakkan diri daripada terheret dalam krisis di antara kerajaan Perikatan Nasional dengan Istana Negara atau Raja-raja Melayu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata 38 Ahli Parlimen daripada parti berkenaan tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran Istana Negara.
Katanya, hal itu kerana perlembagaan UMNO tersemat ikrar untuk menzahirkan ketaatan dan mempertahan institusi Raja-raja Melayu.
“Saya menggesa kebijaksaan dan hikmah semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar dan selari pendirian parti,” katanya hari ini.
Mohamad berpendapat, jawapan balas kerajaan terhadap kenyataan Istana Negara, semalam mengusutkan lagi keadaan, selain menyebabkan Malaysia terjerumus dalam krisis Perlembagaan.
Beliau berkata, pendirian rasmi UMNO sudah dinyatakan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin.
“Semua ahli dan pendokong setia parti, walau apa pun kedudukan, jawatan dan pangkat mereka di dalam dan di luar kerajaan, wajib akur serta patuh terhadap pendirian itu.
“Pendirian rasmi UMNO ialah keputusan kolektif parti. Ia selari dengan suara akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO, dan diperhalusi serta diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi 7 Julai lalu.
“Susulan pencerahan Istana Negara semalam, bertambah kukuh lagi kebenaran pendirian parti. Kerajaan jelas membelakangkan institusi diraja, melakukan tindakan tidak berperlembagaan dan tidak berlaku benar di Parlimen yang mulia,” katanya.
Mohamad berkata, Ahli Parlimen UMNO dan anggota parti perlu selalu bermuhasabah, sentiasa sedar dan arif mengenai asal usul mereka.
Beliau mengingatkan mereka supaya tidak menjadi seperti kata pepatah, ‘diberi berkuku, hendak mencengkam’.