KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri Sabah termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian.
Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata bayaran Khas Kewangan ini akan dibayar secara dua kali iaitu RM1,000 dibayar pada bulan Januari 2024 dan RM1,000 lagi dibayar menjelang Hari Raya Aidilfitri 2024.
“Kerajaan Negeri ingin membawa khabar gembira kepada semua Penjawat Awam Negeri Sabah khususnya kepada Kumpulan Perkhidmatan Sokongan yang menjadi penggerak utama jentera pentadbiran Kerajaan.
“Saya berharap insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada para penjawat awam negeri untuk terus bersemangat dan berusaha dengan lebih gigih lagi demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM25.06 juta untuk menggalakkan pembelajaran berterusan di kalangan penjawat awam bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan, kepakaran dan kemahiran dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Katanya pada tahun ini, bagi meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri telah mewujudkan sebanyak 799 jawatan baharu untuk mengisi keperluan tenaga kerja bagi mengimbangi bebanan kerja yang semakin mencabar dan kompleks.
Masidi berkata Kerajaan amat menghargai atas komitmen dan usaha para penjawat awam dalam menggalas tugas yang telah diamanahkan demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya perkhidmatan awam merupakan tunjang utama dalam jentera pentadbiran negeri.
Katanya Dengan mengutamakan dasar telus dan keterbukaan dalam pengurusan projek sosial ekonomi dan pembangunan negeri, fungsi semak imbang telah ditambah dengan memperkasakan fungsi Bahagian Audit Dalam Kementerian Kewangan kepada Jabatan Audit Dalam yang ditempatkan di bawah Jabatan Ketua Menteri bermula tahun 2024.
“Jabatan ini akan memastikan Kementerian, Jabatan dan Agensi Awam Negeri mengoptimumkan keberhasilan peruntukan yang disediakan.
“Kerajaan Negeri juga komited bagi memantap dan membudayakan integriti di kalangan anggota Perkhidmatan Awam Negeri secara menyeluruh. Peruntukan telah disalurkan kepada Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGONS) di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menyelaras program-program pembudayaan integriti dan anti rasuah demi kecemerlangan sistem pentadbiran negeri,” katanya.
Masidi berkata peruntukan juga disediakan kepada semua Kementerian dan Jabatan di bawah perbelanjaan mengurus bagi memastikan semua program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.