Belanjawan 2023: Komitmen Kerajaan Perpaduan tingkat ekonomi rakyat di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan ‘Belanjawan 2023’ mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memperbaiki kedudukan kewangan negara yang menjaga keperluan rakyat secara menyeluruh.

Sabah menyambut baik 12 inisiatif Belanjawan Malaysia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Menteri Kewangan di Parlimen semalam.

“Kita mengalu-alukan peruntukan RM6.5 bilion untuk Sabah, iaitu kira-kira 3.1 peratus lebih daripada jumlah yang diperuntukkan dalam Bajet awal 2023 yang dibentangkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Kita hargai komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan lebih 1,000km projek Pan Borneo Sabah – Sabah Sarawak Road Link dengan memperuntukkan RM20 bilion,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, Anwar mengarahkan agar Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Fadilah Yusof menyelia perkara itu bagi memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo tidak akan terus dibincangkan dalam setiap persidangan Bajet untuk 20 tahun akan datang.

“Selain itu, RM2.5 bilion lagi diperuntukkan untuk Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan projek kemudahan awam seperti jalan raya, lampu jalan, bekalan elektrik dan air.

“Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mewakilkan kelulusan projek persekutuan di bawah RM50 juta kepada jabatan teknikal di Sabah dan Sarawak perlu diberi pujian,” katanya.

Mengenai komitmen Anwar untuk menyegerakan penghapusan golongan miskin tegar di negara ini melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) tahun ini, Hajiji berkata, ia satu langkah yang baik dan pada masa sama mengharapkan pelaksanaan IPR yang cekap supaya mencapai matlamatnya.

Langkah Perdana Menteri menyediakan peruntukan RM1 bilion untuk Sabah dan Sarawak termasuk pembinaan kemudahan Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di bandar sempadan di Kalabakan sebagai menjangkakan peralihan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

“Namun begitu, Sabah juga akan terus mendesak untuk pembinaan kemudahan serupa di Bantul, Pensiangan,” katanya.

Hajiji maklumkan penekanan Kerajaan Persekutuan terhadap peningkatan keselamatan dengan tambahan 42 pos keselamatan di sempadan termasuk di kawasan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), antara lain.