Bekas SUT Kementerian Kewangan sertai KDM, dijangka calon PRN17 di DUN Paginatan

RANAU : Bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Rusdin Riman dijangka bakal membawa cabaran parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda ketika berucap sempena pelancaran jentera pilihan raya KDM bagi DUN Kundasang, Paginatan dan Karanaan, di sini, pada Sabtu.

“Saya ingin umumkan, beliau (Rusdin) mungkin tiada di sini hari ini, tapi penyokong-penyokong beliau hadir.

“Dia menghubungi saya, Rusdin akan menyertai kita untuk berjuang di DUN Paginatan,” katanya di sini hari ini.

Rusdin merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Insurans Progresif Berhad (PIB), iaitu sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri.

Selain Rusdin di DUN Paginatan, KDM sebelum ini juga membayangkan bekas pegawai kanan Maybank, Datuk Jeffry Mohd Ali sebagai calon parti itu di Kundasang manakala bekas ADUN, Datuk Karim Adam disebut-sebut akan membuat penampilan semula di DUN Karanaan bersama KDM.

Terdahulu Wetrom dalam ucapannya yakin Ranau akan menjadi kubu kuat KDM pada PRN17 nanti.

Katanya, ia berdasarkan sambutan luar biasa penduduk Ranau pada siri jelajah ke kawasan-kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM).