KOTA KINABALU : Perkhidmatan bekalan elektrik kepada rakyat di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan kekal stabil apabila Stesen Janakuasa Bebas (IPP) Rugading beroperasi semula pada hari ini.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Ir. Idris Mohd Noor berkata IPP Rugading ditutup dari beroperasi pada 8 September lepas untuk memberi laluan kepada kerja-kerja teknikal.
Idris berkata SESB mengucapkan penghargaan kepada pengurusan dan anggota kerja IPP Rugading yang telah memberikan kerjasama, komitmen dan usaha yang berterusan dalam memastikan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan pantas.
“Usaha dan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh anggota kerja IPP Rugading dalam memastikan stesen janakuasa itu dapat beroperasi seperti biasa untuk memberikan bekalan elektrik stabil kepada rakyat adalah amat kami hargai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Idris berkata berikutan penutupan itu, Grid Sabah mengalami kekurangan rizab penjanaan menyebabkan SESB melakukan catuan bekalan secara berjadual.
“Catuan bekalan elektrik yang dilaksanakan di beberapa daerah secara bergilir-gilir bertujuan menstabilkan sistem grid elektrik negeri ini dan mengelakkan keseluruhan Sabah dan W.P Labuan mengalami gangguan bekalan,” katanya.
Secara purata, Idris berkata, pemintaan bekalan elektrik pada waktu puncak untuk Sabah dan W.P Labuan adalah sekitar 970 hingga 1,000 megawatt (MW).