KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor perlu membuat penjelasan segera membabitkan isu tular di sosial media berkaitan kelulusan projek perlombongan Pasir Silika di atas tanah hak milik Yayasan Sabah seluas 968.4 hektar di Pulau Balambangan, Kudat.
Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed berkata, hari ini tular berkaitan seorang individu menggunakan empat syarikat merujuk kepada nama Datuk Seri Thomas Hah.
Katanya, merujuk kepada ‘Edisi Panas Sabah di laman sosial media Facebook dipercayai individu terbabit memperoleh kelulusan tanah tersebut pada Januari tahun ini.
“Antara syarikat dikenal pasti di dalam permohonan tersebut termasuklah syarikat Dayang Aurora Sdn. Bhd; Inspirasi Dinamik Sdn. Bhd; Best Plantation Ecotourism Sdn. Bhd serta Innovate Platinum Sdn. Bhd.
“Tujuan permohonan tanah ini adalah bagi aktiviti penternakan kambing serta pertanian bernilai ekonomi.
“Secara umum mengetahui keadaan Pulau Balambangan, tanah tersebut dipenuhi pasir silika, tidak banyak tumbuhan atau rumput yang boleh diberikan kepada kambing sebagai makanan.
“Selain itu, tiada sumber air tawar di kawasan tersebut yang boleh dijadikan sebagai sumber air bersih untuk keperluan dan minuman kambing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jefrrey Nor merupakan Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Negeri Sabah berkata, tiada sebarang penempatan manusia, tiada hubungan telekomunikasi dan tenaga elektrik di kawasan tersebut.
“Adalah mustahil bagi syarikat terbabit untuk membina ladang penternakan kambing melibatkan tanah seluas 2,393 ekar atau 968.4 hektar berkemungkinan merupakan ladang yang terbesar di Asia.
“Paling jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang projek penternakan kambing yang diwujudkan dilihat Hajiji berminat untuk perniagaan aktiviti pasir silika yang mempunyai nilai pasaran serta harga tinggi,” jelas Jeffrey Nor.
Menurut Jeffrey, apa yang pasti selepas mendapat hak milik tanah tersebut, mereka akan memohon untuk menukar syarat kegunaan tanah dengan menggunakan kaedah Jadual B untuk menggali dan menjual pasir silika yang berada di kawasan tersebut.