TAMPARULI: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu semua pihak supaya menghentikan pertengkaran politik yang tidak membawa apa-apa faedah kepada negeri ini.
Sebaliknya, beliau menegaskan tumpuan diberikan kepada usaha ke arah membangunkan negeri ini dengan memastikan perancangan kerajaan untuk kemajuan dan kemakmuran negeri dapat dicapai.

“Tanpa politik yang berlebihan, kita boleh memberi sepenuh tumpuan terhadap usaha membangunkan Sabah. Kita mesti memastikan semua aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berjaya dilaksanakan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Dewan Tun Hamdan, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menggariskan hala tuju untuk membangunkan Sabah.

Jelasnya, walaupun berdepan banyak cabaran seperti pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan politik di peringkat persekutuan, Sabah berjaya bergerak ke hadapan menerusi Hala Tuju SMJ.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, fokus utama Gagasan Rakyat yang diketuainya ialah pembangunan Sabah.
“Kita (Gagasan Rakyat) tidak bersaing dengan rakan kita dalam GRS. Gagasan Rakyat bukan dibentuk untuk bermain politik tetapi fokus kepada aspek pembangunan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata adalah penting untuk Gagasan Rakyat membentuk kerjasama erat dengan semua parti komponen GRS di 73 bahagian parti itu di seluruh negeri.
Katanya, perpaduan yang kuat penting bagi memastikan GRS terus memimpin kerajaan negeri.
“Gagasan Rakyat baru berusia tujuh bulan tetapi saya gembira melihat kematangan pemimpin dan ahlinya,” katanya.
Beliau turut memuji Gagasan Rakyat Tamparuli di bawah kepemimpinan Datuk Alijus Sipil yang kini dianggotai kira-kira 2,000 ahli di 68 cawangan.