SANDAKAN: Kerajaan negeri akan mengkaji secara menyeluruh cadangan untuk menghidupkan semula perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ antara Sabah dan selatan Filipina.
Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, walaupun cadangan itu mendapat perhatian pelbagai pihak, kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, aspek keselamatan serta impaknya kepada ekonomi negeri dan peniaga tempatan menjadi keutamaan dalam penilaian tersebut.
“Kita akan kaji. Banyak pihak memberi cadangan mengenai perkara ini dan semua aspek akan diambil kira, khususnya keselamatan serta kebaikannya kepada ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke beberapa pulau yang menempatkan pos keselamatan di perairan Sandakan dalam kawasan Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE).
Mengulas lawatan itu, Hajiji berkata tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan berada dalam keadaan baik, termasuk fasiliti di pos kawalan yang telah ditambah baik.
Katanya, keselamatan yang terjamin memainkan peranan penting dalam merangsang aktiviti ekonomi, khususnya sektor pelancongan di pantai timur Sabah.
