MENUMBOK: Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) yang dipilih bagi Sesi 2026-2029 pada Mesyuarat Agung Tahunan 2026 turut menampilkan golongan muda sebagai generasi pelapis memperjuangkan kaum itu.
Datuk Dr Yusof Yacob, Pengerusi Sabah Development Berhad mengekalkan jawatan Presiden tanpa bertanding bersama timbalannya Datuk Ramlee Kariah yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat Sabah Maju Jaya.
Tiga naib presiden yang dipilih adalah Sani Gapar, seorang usahawan, Nawi Bair, bekas Pengarah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Kota Kinabalu dan Hamidi Salleh, seorang usahawan.
Sepuluh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang dipilih turut menampilkan beberapa muka baru dan golongan muda terdiri Jakaria Nayan, Ibrahim Muksin, Alizah Arif, Azrin Sohaini, Muhammad Zulfadhli Amir, Romay Shahirie, Salbiah Nayan, Osman Arshad, Ustaz Mohd Ridzuan Kaplin dan Mohd Nazib Maidan.
Berucap pada mesyuarat tersebut di Dewan Pesta Nelayan Mempakul Menumbok pada Sabtu lepas, Dr Yusof berkata, persatuan itu akan terus memperjuangkan dan memartabatkan kebudayaan, kesenian serta warisan kaum Kadayan di negara ini.
Pada masa sama, katanya, PAADIAN juga menggalakkan penyertaan kaum Kadayan dalam sektor awam negeri dan Persekutuan yang menunjukkan kaum itu juga mampu bersaing.
Menurutnya, antara kaum Kadayan yang menyerlah di sektor awam negeri dan persekutuan adalah Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaysia Sabah (Akademik dan Antarabangsa) Datuk Prof. Dr Rossita Shapawi, Pengarah Hospital Queen Elizabeth 2 Kota Kinabalu Dr Ferro Firdaus Ibrahim dan Datuk Ramlee Kariah sebagai COO Sekretariat SMJ.
Beliau berkata, PAADIAN juga menggalakkan penyertaan golongan muda dalam persatuan itu sebagai generasi pelapis memperjuangkan kaum itu termasuk penyertaan sebagai AMT dalam persatuan itu.
