Banjir Melalap: 12 PPS dibuka, hampir 1,500 mangsa dipindahkan

TENOM: Seramai hampir 1,500 mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap kini ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka susulan banjir yang melanda daerah ini sejak awal minggu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jamawi Jaafar berkata, kesemua mangsa melibatkan kira-kira 450 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat kenaikan paras air.

Menurutnya, pelbagai bentuk bantuan segera digerakkan bagi memastikan keperluan asas mangsa seperti bekalan makanan, air bersih, kit kebersihan dan barangan keperluan harian dapat disalurkan dengan cepat dan teratur.

“Semua PPS dikawal selia dengan rapi bagi memastikan keselamatan serta keselesaan mangsa sepanjang berada di pusat pemindahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Tenom telah mengalami kejadian banjir sebanyak tiga kali sejak awal tahun ini, sekali gus memberi tekanan kepada penduduk serta pihak berkuasa dalam menguruskan situasi bencana.

Tambahnya, kerjasama erat antara Pejabat Daerah Tenom, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu melancarkan operasi pemindahan dan penyaluran bantuan kepada mangsa.

“Semua agensi terlibat bekerja secara bersepadu bagi mempercepatkan proses bantuan kepada penduduk yang terjejas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menilai keperluan bantuan susulan termasuk kerja pembersihan rumah, penilaian kerosakan harta benda serta bantuan pemulihan selepas banjir surut.

Jamawi turut menasihatkan penduduk agar sentiasa memantau keadaan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

Beliau pada masa sama memuji keprihatinan komuniti setempat yang tampil menghulurkan bantuan secara sukarela kepada mangsa banjir.

“Kerajaan Negeri komited untuk terus memantau situasi semasa dan memastikan segala bantuan disalurkan sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya,” katanya.