Dua Bot Cuba Lolos Ke Paya Bakau, 24 Kayu Disyaki Hasil Curi Dirampas

LAHAD DATU:  Cubaan menyeludup keluar 24 batang kayu disyaki hasil curi gagal apabila dua bot berjaya dipintas dalam operasi penguatkuasaan di perairan di sini semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu dalam kenyataan memaklumkan, dua bot kayu tanpa nombor pendaftaran itu dikesan kira-kira jam 10 malam pada kedudukan 0.5 batu nautika tenggara muara Sungai Sepagaya.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot berwarna merah jambu dan hijau tersebut dikesan ketika rondaan Op PLUTO TIMUR 2/2013 dan Op TIRIS 3.0 hasil maklumat risikan.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, kedua-dua bot berkenaan bertindak memecut laju sebelum melarikan diri ke kawasan paya bakau.

“Pemeriksaan lanjut menemukan empat batang kayu bakau dan 20 batang kayu potong di dalam kedua-dua bot terbabit. Semua kayu dipercayai dibawa tanpa permit sah dan disyaki hasil curi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 kerana membawa hasil hutan tanpa kebenaran serta Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki dan membawa barangan curi.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot dianggarkan berjumlah RM8,000 dan semua barang kes dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan jenayah maritim di perairan negara.