Backbenchers Sabah gesa pelan segera tangani kesan ekonomi global

KOTA KINABALU: Kumpulan Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menggesa kerajaan menyediakan pelan tindakan segera bagi menghadapi kemungkinan kesan ekonomi global susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Pengerusinya, Datuk Masiung Banah berkata kerajaan pusat sepatutnya sudah merangka langkah jangka pendek dan sederhana bagi menangani kesan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Menurutnya, kenaikan harga minyak mentah global lazimnya akan memberi kesan langsung kepada peningkatan harga barangan keperluan harian termasuk bahan makanan.

“Jika kerajaan lambat bertindak tanpa pelan tindakan awal, peniaga berpotensi mengambil kesempatan dan kenaikan harga barang keperluan harian boleh menjadi tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata ketegangan geopolitik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran berpotensi menjejaskan laluan perdagangan utama dunia di Selat Hormuz.

Katanya, situasi itu boleh memberi kesan fiskal kepada Malaysia termasuk kenaikan harga bahan mentah dan kos import.

Beliau turut menggesa Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi mengambil langkah dasar fiskal yang bersesuaian bagi menghadapi kemungkinan kesan ekonomi tersebut.