SANDAKAN: Kira-kira 20 petak kubur di Tanah Perkuburan Jalan Sim Sim di sini terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku pagi tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan menggerakkan anggota ke lokasi bagi melakukan pemantauan serta menilai tahap keselamatan kawasan terbabit.
Menurut kenyataan APM, pasukan Skuad Delta dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta menilai keadaan semasa di kawasan tanah perkuburan berkenaan.
Hasil pemantauan mendapati runtuhan tanah itu melibatkan kira-kira 20 petak kubur.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak menjejaskan laluan jalan raya berhampiran dengan jarak runtuhan kira-kira 12 meter dari jalan utama.
APM memaklumkan pemantauan akan diteruskan berikutan risiko runtuhan susulan sekiranya hujan lebat berterusan.
