LAHAD DATU: Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam operasi Op Tapis di Taman Aman 3, Jalan Silam, di sini.
Kedua-dua suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Lahad Datu ketika berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah.
Pemeriksaan ke atas lelaki itu menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu yang disimpan dalam lipatan kertas biru.
Polis turut menemui satu gulung kertas timah yang dipercayai digunakan untuk mengambil dadah.
Hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
